HAP Perkasa Inklusiviti, Pastikan Tiada Tertinggal Menjelang 2030
BINTULU: Kerajaan Sarawak terus memperkasakan inklusiviti sosial apabila Program Healthy Athletes (HAP) dilaksanakan dengan jayanya sempena temasya ‘Special Olympics (SO) Malaysia 6th National Games’ 2026 di SJK (C) Chung Hua Bintulu, sekali gus memperkasa akses kesihatan kepada individu dengan ketidakupayaan intelek dan perkembangan (IDD).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah menegaskan bahawa usaha memperluas inklusiviti bukan sekadar inisiatif kebajikan, sebaliknya merupakan hak asasi setiap individu yang perlu dipenuhi secara menyeluruh.
“Pendekatan inklusif ini selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), dan data yang diperoleh daripada program ini akan menjadi asas penting dalam merangka dasar masa hadapan bagi memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam arus pembangunan negeri,” katanya ketika berucap dalam program berkenaan, pada Ahad.
Sepanjang program berlangsung, seramai 391 atlet daripada 11 disiplin sukan telah menjalani saringan kesihatan komprehensif melibatkan lapan bidang kepakaran, dikendalikan oleh 15 Pengarah Klinikal serta 97 sukarelawan kesihatan.
Sementara itu, sebanyak 2,321 saringan direkodkan dengan nilai perkhidmatan dianggarkan antara RM3 hingga RM4 juta, sekali gus mencerminkan kepentingan akses kesihatan percuma kepada golongan sasar.
Dapatan saringan turut mendedahkan beberapa kes kritikal termasuk pengesanan awal suspek penyakit seperti Glaukoma dan Pneumonia dalam kalangan atlet yang sedang bertanding, membolehkan intervensi awal dilaksanakan.
Dalam memastikan ketepatan pemeriksaan, pendekatan inovatif turut diperkenalkan apabila petugas kesihatan mengenakan pakaian berwarna merah jambu bagi mengurangkan kesan ‘White Coat Syndrome’ dalam kalangan atlet, sekali gus membantu mendapatkan bacaan kesihatan yang lebih tepat dalam suasana santai.
Sementara itu, Pengarah Klinikal program, Dr Toh Teck Hock memaklumkan bahawa kira-kira 200 surat rujukan perubatan telah dikeluarkan bagi membolehkan atlet menerima rawatan susulan segera di fasiliti kesihatan berhampiran.
Penganjuran program ini turut diiktiraf sebagai antara yang terbaik di peringkat kebangsaan hasil kerjasama strategik antara Hospital Bintulu, SEGi University, Bintulu Port, serta penglibatan aktif sukarelawan termasuk pelajar sekolah dan pertubuhan komuniti.
Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad Dato Ruslan Abdul Ghani. -EDISI UKAS