Atlet Istimewa Cemerlang, Semangat Inklusiviti Terserlah di Stadium Bintulu
BINTULU: Keazaman luar biasa atlet istimewa menjadi teras kejayaan hari kedua acara olahraga sempena Sukan Kebangsaan Special Olympics Malaysia ke-6 2026 yang berlangsung meriah di Stadium Bintulu, pada Ahad sekali gus menonjolkan semangat inklusiviti dalam arena sukan negara.
Ratusan peserta mempamerkan daya saing tinggi dalam pelbagai acara balapan dan padang, membuktikan bahawa kekurangan intelektual bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan di peringkat kebangsaan dalam suasana harmoni dan penuh sokongan.
Dalam acara 400 meter lelaki kategori umur 15 hingga 19 tahun, Mohammad Iqram Abdullah muncul juara dengan catatan 68.6 saat, menewaskan rakan sepasukan, Jackson Bantin Isa yang hanya ketinggalan 0.1 saat.
Bagi kategori wanita, Nur Qistina Maisara Sharonnizam dari SO Melaka meraih emas dengan masa 89 saat.
Persaingan turut sengit dalam kategori 20 tahun ke atas apabila atlet SO Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatat masa terpantas 66.5 saat dalam acara 400 meter lelaki, manakala Victoria Charlie dari Sarawak mengungguli kategori wanita dengan catatan 73.5 saat.
Acara padang menyaksikan Kim Huang Paulinus dari SO Wilayah Persekutuan Labuan meraih emas dalam lontar peluru kategori lelaki 20 tahun ke atas.
Awang Danish Haikal pula menghadiahkan emas buat Sarawak bagi kategori 15 hingga 19 tahun, sementara Natasha Tan Wei Qi dari SO Perak menjuarai kategori wanita.
Kemuncak hari kedua diserikan dengan kemenangan pasukan 4x100 meter campuran Sarawak yang dibarisi Jason Harry, Margaret Martin, Clayries Eidelwiss dan Alven Gana, sekali gus menutup acara dengan sorakan gemuruh para penyokong.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam yang hadir menyempurnakan upacara penyampaian hadiah menzahirkan sokongan padu kerajaan terhadap pembangunan sukan inklusif serta memberi suntikan semangat kepada para atlet.
Penganjuran temasya ini bukan sahaja menekankan aspek persaingan, malah menjadi wadah memperkasa potensi individu berkeperluan khas, di samping memupuk perpaduan dan penerimaan masyarakat terhadap golongan tersebut.-EDISI UKAS