2,000 Hadiri Ceramah UAS, Tanda Kesedaran Tinggi Isu Akhir Zaman
GEDONG: Kehadiran hampir 2,000 masyarakat ke ceramah disampaikan Al Fadil Prof. Dr. Ustaz Abdul Somad mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan persediaan rohani dalam menghadapi cabaran zaman masa kini.
Ceramah bertajuk Peringatan Akhir Zaman: Persiapkanlah Dirimu itu menekankan bahawa cabaran semasa bukan sahaja bersifat fizikal, malah turut melibatkan pengaruh pemikiran, media serta gaya hidup yang boleh menjejaskan pegangan agama.
Dalam kupasannya, beliau mengingatkan umat Islam agar kembali kepada ajaran sebenar dengan memperkukuh ibadah, menjaga akhlak serta membina hubungan sesama manusia sebagai asas menghadapi perubahan zaman.
Selain itu, peranan institusi keluarga khususnya ibu bapa dalam membentuk jati diri anak-anak turut ditekankan sebagai elemen penting bagi memastikan generasi akan datang kekal berpegang kepada nilai agama.
Sambutan menggalakkan terhadap ceramah tersebut turut menggambarkan keperluan berterusan terhadap program berunsur kerohanian sebagai platform memperkukuh ilmu dan kefahaman masyarakat terhadap isu semasa dari perspektif Islam.
Turut hadir Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah serta Dato Sri Mohd Naroden Majais.-EDISI UKAS