KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) telah mengadakan satu sesi perbincangan bersama Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dalam memperkasa peranan serta aspek pengurusan media.
Perbincangan diadakan di ibu pejabat UKAS, di sini pada Isnin memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam mempromosikan pelbagai acara pelancongan, khususnya penganjuran acara bertaraf antarabangsa di Kuching.
Delegasi STB diketuai Pengarah Digital dan Komunikasi, Melvin Jong disambut oleh Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Turut mengiringi Melvin Jong ialah bersama Pengurus Komunikasi, Aina Rashidah Md Noh dan Penolong Pengurus, Abdul Yazeed.
Delegasi turut dibawa melawat Studio UKAS bagi melihat sendiri kemudahan serta keupayaan produksi media yang dimiliki agensi tersebut dalam menyokong penyampaian maklumat dan promosi kerajaan negeri.
Dalam sesi tersebut, kedua-dua pihak turut membincangkan pendekatan bersepadu dalam memperluas liputan media tempatan bagi meningkatkan keterlihatan program serta menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke Sarawak.
Kerjasama ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama, selaras dengan usaha berterusan kerajaan negeri dalam mempergiat promosi industri pelancongan.-EDISI UKAS