TPM Tunai Solat Subuh Berjemaah, Santuni Kariah Masjid Darul Firdaus
SIBU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof mengadakan lawatan silaturahim ke Masjid Darul Firdaus, Jalan Apollo, di sini awal pagi Isnin.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memulakan kunjungan dengan menunaikan solat Subuh secara berjemaah bersama penduduk setempat.
Usai solat, majlis diteruskan dengan tazkirah ringkas berkaitan amalan harian yang disampaikan oleh Imam 1 Masjid Darul Firdaus, Syed Zian.
Dalam lawatan tersebut, Datuk Amar Fadillah turut mengambil kesempatan mendapatkan maklum balas mengenai perkembangan terkini projek pembinaan masjid baharu di kawasan berkenaan.
Beliau menyatakan komitmen untuk membantu serta meneliti keperluan dan proses pembinaan pada masa akan datang.
Selain itu, Ahli Parlimen Petra Jaya itu berharap agar masjid berkenaan dapat dibangunkan selaras dengan keperluan qariah setempat.
Selepas sesi minum pagi di dewan serbaguna masjid, beliau kemudian dibawa melawat tapak cadangan masjid baharu yang bakal dibangunkan.
Antara yang turut hadir ialah Pengerusi Masjid Darul Firdaus, Junaidi Mohamad Mokhtar, Pengerusi Pembangunan Masjid Baharu, Hamzah A. Beraan serta Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Apollo Deshon, Abang Mohamad Hafiq Abang Kassim.-EDISI UKAS