Yang di-Pertua Negeri Sarawak Terima Kunjungan Hormat Ustaz Abdul Somad
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat pendakwah tersohor dari Indonesia, Prof Ustaz Dr Abdul Somad Batubara di Astana Negeri Sarawak pada Isnin.
Kehadiran Ustaz Abdul Somad di Astana Negeri Sarawak setelah menerima jemputan daripada pihak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bagi meluangkan waktu untuk berjumpa dan bertanya khabar.
Turut hadir, Konsulat Jenderal Indonesia di Kuching, Sarawak Dr Abdullah Zulkifli.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dalam kunjungan hormat berkongsi tentang karier beliau sepanjang sehingga menjawat jawatan sebagai TYT Sarawak sambil turut berkongsi sejarah dan perkembangan Malaysia dari dulu sampai sekarang.
Dalam pada itu, kunjungan hormat ini juga merupakan hari terakhir Ustaz Abdul Somad di Sarawak sebelum berangkat pulang Pekanbaru, Indonesia.
Kehadirannya di Sarawak merupakan rangkaian safari dakwah yang bermula daripada Sabtu lepas dan berakhir hari ini.
Ini merupakan program tahunan beliau untuk berdakwah di Bumi Kenyalang di mana beliau telah melakukan ceramah di Masjid Darul Mutaqqin Kampung Buntal, Masjid India Bandar Kuching, Surau Ibadurrahman Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Matang 2 serta Dewan Datuk Patinggi Ali Gedong. -EDISI UKAS