Sarawak Rakan Penting EU Perkukuh Kerjasama Strategik Ekonomi dan Tenaga Hijau
KUCHING: Kesatuan Eropah (EU) melihat Sarawak sebagai rakan penting dalam memperkukuh kerjasama strategik, khususnya dalam bidang ekonomi, tenaga hijau dan pembangunan mampan.
Duta Besar Kesatuan Eropah ke Malaysia, Rafael Daerr berkata, dalam konteks Malaysia, Sarawak memainkan peranan besar kerana pendekatan pembangunannya yang berwawasan dan selari dengan keutamaan EU.
“Bagi kami di peringkat global, Malaysia merupakan rakan kongsi utama dalam usaha memacu kemakmuran bersama serta memperkukuh keamanan dan kestabilan serantau bagi kedua-dua pihak.
“Di Malaysia pula, Sarawak memainkan peranan penting melalui pelbagai pendekatan berwawasan dalam banyak bidang yang amat selari dengan keutamaan kami.
“Ini termasuk peralihan hijau, peningkatan pengeluaran tenaga hijau serta kerjasama strategik yang akhirnya bukan sahaja mengukuhkan kedua-dua pihak, malah meningkatkan daya tahan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi pada Isnin.
Rafael menambah, dalam landskap geopolitik dan geoekonomi global yang semakin mencabar, kerjasama antara EU dan Malaysia, termasuk Sarawak, menjadi semakin penting bagi meningkatkan daya tahan serta kebebasan ekonomi kedua-dua pihak.
Dalam pada itu, beliau berkata, kunjungan rasmi pertamanya ke Sarawak bertujuan mengukuhkan hubungan sedia ada serta menyokong kerjasama antara negara anggota EU dan Sarawak.
Katanya, antara fokus kerjasama termasuk tenaga hijau, pelaburan, pendidikan serta pembangunan mampan yang diyakini mampu memberi manfaat bersama dan memperkukuh daya tahan kedua-dua pihak.
Turut hadir ialah Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri Malaysia, Dato Fenny Nuli.
Selepas kunjungan hormat tersebut, Premier Sarawak turut menerima kunjungan hormat daripada Menteri Belia dan Sukan Malaysia Dr. Mohammad Taufiq Johari.
Antara yang dibincangkan ialah berkaitan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, serta persiapan Sukan SEA 2027, di mana Sarawak merupakan satu daripada empat kluster utama.
Hadir sama ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan-Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr Ripin Lamat, KSU, KBS Dato' Rahimi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia Datuk Rashid Yaakub serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Muhammad Rais Sanusi