![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
Dalam keadaan dunia yang makin tak menentu hari ini, kadang-kadang kita sebagai rakyat biasa hanya mampu tarik nafas panjang bila harga barang naik sedikit demi sedikit. Namun begitu di sebalik keresahan itu, ada satu berita yang sekurang-kurangnya memberi sedikit kelegaan bagi rakyat apabila Kerajaan Sarawak tampil bukan sekadar bercakap, tetapi bertindak untuk meringankan beban. Itulah yang dapat kita lihat melalui kenyataan khas Premier Sarawak baru-baru ini, khususnya berkaitan tentang kenaikan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
Kalau kita faham latar belakangnya, situasi ini bukan berlaku secara tiba-tiba. Ketika konflik US-Iran yang berlarutan di Asia Barat sebenarnya telah memberi kesan besar kepada ekonomi dunia, termasuk Sarawak. Kesan ini datang dalam bentuk yang sangat dekat dengan kehidupan kita dimana ia melibatkan kos pengangkutan yang meningkat, harga baja naik, dan akhirnya harga makanan serta barang keperluan harian turut melambung. Maknanya, apa yang berlaku jauh di Asia Barat sana, bahangnya tetap terasa juga di dapur kita sendiri.
Sebab itulah langkah Kerajaan Sarawak membantu menaikkan kadar SKAS ini dilihat sebagai satu tindakan yang tepat pada masanya. Bantuan untuk isi rumah dinaikkan daripada RM950 kepada RM1,100, warga emas daripada RM500 kepada RM600, dan individu bujang daripada RM300 kepada RM375. Mungkin bagi sesetengah orang angka ini nampak sederhana, tetapi bagi ramai rakyat, ini umpama oksigen tambahan untuk rakyat Sarawak terus bertahan dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Apa yang lebih menarik, bantuan ini bukan sekadar untuk segelintir, tetapi dijangka memberi manfaat kepada hampir 900,000 penerima di seluruh Sarawak. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Sarawak benar-benar memahami realiti kehidupan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang paling terkesan dengan kenaikan kos sara hidup. Tambahan pula, bantuan ini diagihkan secara berperingkat sepanjang tahun, jadi ia bukan bantuan sekali beri (one off) dan selesai, tetapi berterusan.
Dari sudut kewangan pula, kenaikan ini bukan kecil. Kerajaan Sarawak menambah peruntukan sehingga menjadikan jumlah keseluruhan SKAS mencecah RM680 juta untuk tahun 2026. Ini menunjukkan satu komitmen yang serius. Ia bukan sekadar janji, tetapi benar-benar meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan. Bila kita lihat angka ini, jelas bahawa Kerajaan Sarawak sanggup berbelanja lebih demi memastikan rakyat tidak terlalu tertekan.
Kalau kita renung lebih dalam, bantuan seperti SKAS ini sebenarnya bukan hanya tentang wang. Ia adalah tanda keprihatinan pimpinan negeri terhadap rakyat. Ia memberi mesej bahawa kerajaan Sarawak tidak menutup mata terhadap kesusahan rakyat. Dalam keadaan dunia yang penuh ketidaktentuan, rasa ada yang menjaga itu sendiri sudah cukup memberi kekuatan kepada ramai orang untuk terus melangkah.
Lebih menarik lagi, kenaikan SKAS ini bukan datang secara bersendirian. Ia dilengkapi dengan inisiatif lain seperti diskaun bil elektrik dan pengurangan kos sewaan untuk peniaga kecil. Ini menunjukkan pendekatan yang lebih menyeluruh dan bukan hanya membantu dari satu sudut, tetapi cuba meringankan beban rakyat dari pelbagai aspek kehidupan.
Akhirnya, dalam segala cabaran ini, kita sebenarnya masih punya banyak sebab untuk bersyukur. Tidak semua tempat di dunia mempunyai kerajaan yang mampu dan bersedia membantu rakyatnya secara langsung dalam keadaan krisis global. Kenaikan SKAS ini mungkin tidak menyelesaikan semua masalah, tetapi ia cukup untuk membuktikan bahawa kita tidak dibiarkan bersendirian.
Dalam dunia yang penuh ketidakpastian ini, bantuan seperti SKAS ibarat cahaya kecil yang memberi harapan. Dan kadang-kadang, harapan itulah yang paling kita perlukan untuk terus kuat menghadapi hari-hari mendatang.