Projek RTP Lewat, Semua Pihak Perlu Duduk Semeja Cari Penyelesaian
SRI AMAN: Projek pembangunan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang gagal disiapkan mengikut jadual perlu ditangani segera menerusi perbincangan bersama semua pihak terlibat bagi mencari penyelesaian menyeluruh.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis menegaskan, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan projek terbantut dan dikategorikan sebagai projek ‘sakit’, sekali gus menjejaskan manfaat kepada rakyat.
Menurut beliau, pendekatan duduk semeja penting supaya setiap agensi dan kontraktor dapat memahami isu sebenar yang dihadapi, berbanding hanya menunggu tanpa tindakan.
“Projek bermasalah perlu dibawa ke meja rundingan agar semua pihak mengetahui kekangan sebenar dan dapat mencari jalan penyelesaian secara tuntas.
“Kontraktor juga perlu memahami sepenuhnya skop serta spesifikasi projek sebelum menyertai sebut harga supaya pelaksanaan dapat dilakukan dengan lancar hingga siap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke tapak projek RTP di Sungai Reboh, Ijok dan Entebar, di sini pada baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menekankan kepentingan kerjasama dan kesepakatan antara semua pihak bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual atau lebih awal.
Katanya, aspek tersebut amat penting bagi memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan tanpa sebarang kelewatan.
Terdahulu, beliau menyempurnakan penyerahan tapak projek RTP menaik taraf jalan perkuburan di Kampung Sungai Reboh dan Kampung Ijok melibatkan kos keseluruhan RM300,000, yang dijangka siap dalam tempoh empat bulan.
Selain itu, beliau turut menyerahkan tapak projek baik pulih Pusat Kegiatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Entebar bernilai RM100,000 yang dijadualkan siap dalam tempoh tiga bulan.-EDISI UKAS