Majlis Penghargaan Erat Silaturahim, Hargai Petugas Tilawah Al-Quran Peringkat Sarawak
SERIAN: Majlis Penghargaan dan Silaturahim Petugas Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Sarawak telah diadakan bagi menghargai komitmen semua pihak yang terlibat menjayakan penganjuran program berkenaan sekali gus menjadi platform memperkukuh hubungan pelbagai bangsa dan agama.
Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Mual Suaud merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Sarawak tahun ini dapat dilaksanakan dengan jayanya meskipun berdepan beberapa perubahan tarikh sebelum ini.
Menurutnya, kejayaan penganjuran majlis itu jelas terserlah apabila menerima sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada masyarakat Islam, malah turut mendapat penyertaan masyarakat pelbagai agama.
“Perpaduan ini adalah kekuatan kita dan menjadi asas penting dalam usaha memajukan Sarawak ke arah mencapai visi Sarawak Maju 2030,” katanya demikian dalam majlis di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian pada Isnin.
Beliau turut memohon maaf atas segala kesulitan sepanjang proses perancangan serta merakamkan penghargaan kepada Pentadbiran Bahagian Serian yang diterajui Residennya, Caroline Cleophas Joseph bersama seluruh jawatankuasa pelaksana.
Dalam perkembangan lain, Mual memaklumkan bahawa Sarawak turut mencatat kejayaan membanggakan di peringkat kebangsaan apabila wakil negeri, Nur Syakura Mohamad Musa, dinobatkan sebagai johan Qariah dalam pertandingan tilawah yang diadakan di Terengganu baru-baru ini.
Ujarnya, Nur Syakura dijadualkan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur pada Oktober nanti.
Beliau berharap kejayaan tersebut dapat diteruskan sekali gus mengharumkan nama Sarawak dan negara di persada dunia.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph serta Pengerusi Majlis Daerah Serian Dato Peter Minos. -EDISI UKAS