Premier Sarawak Ziarah Keluarga Mendiang Dr Yong Sau Kan, Beri Penghormatan Terakhir
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meluangkan masa menziarahi kediaman keluarga mendiang Datin Patinggi Puan Sri Dr. Yong Sau Kan, tokoh wanita Sarawak yang meninggal dunia Sabtu lepas pada usia 100 tahun.
Kehadiran Premier pada jam 3.20 petang pada Isnin sebagai tanda penghargaan dan penghormatan atas jasa serta sumbangan besar mendiang kepada masyarakat.
Menyambut kehadiran Premier di kediaman mendiang di Jalan Tabuan di sini ialah dua anaknya, Dr. Wong Chee May dan Wong Chee Ling.
Datin Patinggi Puan Sri Dr. Yong Sau Kan merupakan bekas isteri kepada mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, mendiang Datuk Patinggi Tan Sri Wong Soon Kai.
Sepanjang hayatnya, mendiang merupakan antara individu yang setia menyokong perjuangan politik suaminya sejak menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak SUPP) pada tahun 1978.
Mendiang dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Nirvana, Bau pada 28 April ini.-EDISI UKAS