Sarawak Delta UNESCO Global Geopark Angkat Warisan Geologi, Biodiversiti & Budaya Di Pentas Dunia
PARIS: Sarawak Delta kini secara rasmi diiktiraf sebagai Sarawak Delta UNESCO Global Geopark, sekali gus mengangkat warisan geologi, biodiversiti dan budaya negeri ke pentas dunia.
Pengiktirafan berprestij yang diumumkan di Ibu Pejabat UNESCO di sini pada 27 April itu mencerminkan kejayaan usaha pemuliharaan berterusan, selain membuka lembaran baharu dalam memperkukuh eko-pelancongan, pembangunan mampan serta kesejahteraan komuniti setempat.
Sarawak Delta UNESCO Global Geopark tersebut meliputi keluasan 3,112 kilometer persegi, merangkumi 2,685 kilometer persegi daratan dan 427 kilometer persegi kawasan laut, melibatkan Bahagian Kuching serta sebahagian Bahagian Serian.
Menurut Jabatan Hutan Sarawak dalam satu kenyataan media, majlis penyampaian sijil berlangsung dengan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh mengetuai delegasi Sarawak menerima pengiktirafan tersebut.
Sijil berkenaan disampaikan oleh Ketua Seksyen Sains Bumi dan Geopark UNESCO, Kristof Vandenberghe.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Morshidi Fredrick, Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad, Ketua Unit Geopark Jabatan Hutan Sarawak, Madeline George Pau, Ketua Bahagian Perhutanan dan Hidupan Liar, Tessy Nimos serta Lelawati Othman daripada Jabatan Hutan Sarawak.
Sarawak Delta UNESCO Global Geopark diiktiraf sebagai kawasan geografi bersepadu yang memiliki kepentingan geologi bertaraf antarabangsa serta diurus secara menyeluruh berteraskan perlindungan, pendidikan dan pembangunan mampan.
Keunikan kawasan ini terserlah menerusi sistem sungai yang kompleks, landskap pesisir serta formasi sedimen yang menggambarkan sejarah bumi sejak berjuta-juta tahun.
Selain itu, geopark ini turut merangkumi pelbagai ekosistem penting seperti hutan paya bakau, paya gambut dan kawasan muara yang menyokong kepelbagaian biodiversiti.
Dalam masa sama, Sarawak Delta UNESCO Global Geopark menjadi habitat kepada komuniti tempatan yang kaya dengan warisan budaya, tradisi dan sumber kehidupan yang berkait rapat dengan alam sekitar, sekali gus menambah nilai unik kawasan tersebut dari sudut sosial dan kemanusiaan.
Pengiktirafan ini mencerminkan usaha berterusan pelbagai pihak termasuk komuniti, agensi kerajaan, penyelidik dan rakan pemuliharaan yang telah bekerjasama dalam melindungi serta mengurus kawasan tersebut secara mampan untuk generasi akan datang.
Status baharu ini dijangka meningkatkan keterlihatan Sarawak di peringkat global, selain merangsang pembangunan eko-pelancongan, memperkukuh ekonomi tempatan serta memperluas pendidikan alam sekitar.
Pada masa sama, ia mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi utama ekonomi hijau dan eko-pelancongan di rantau Asia Tenggara selaras dengan komitmen negeri terhadap pembangunan mampan.-EDISI UKAS