Sarawak Teliti Guna Satelit Dapatkan Imej Menyeluruh Muka Bumi Negeri
KUCHING: Sarawak sedang meneliti penggunaan teknologi satelit bagi mendapatkan imej menyeluruh muka bumi negeri ini sebagai langkah memperkukuh perancangan pembangunan berasaskan data pada masa hadapan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, inisiatif itu sedang diteliti bersama Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bagi membolehkan data terperinci dikumpulkan mengenai muka bumi untuk dimanfaatkan secara strategik.
"Ini termasuk hutan paya bakau, kawasan balak, jenis kawasan balak dan sebagainya untuk kita merancang masa depan kita.
"Dan dengan data itu, yang disalurkan melalui teknologi, kita boleh bergerak ke hadapan," katanya demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Kejuruteraan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Ke-16 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Selasa.
Premier Sarawak menambah, dunia kini bergerak pantas dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) generatif kepada AI agentik, dan dijangka akan memasuki fasa AI strategik yang berteraskan pengurusan data berskala besar untuk tempoh lima tahun akan datang.
Jelasnya, keupayaan mengumpul dan memanfaatkan data termasuk melalui penggunaan satelit di orbit rendah bumi bakal menjadi pemacu utama ekonomi global pada masa hadapan.
Justeru katanya, Sarawak memberi perhatian terhadap pembangunan sektor aeroangkasa serta teknologi isyarat sebagai persediaan menghadapi ekonomi digital masa depan.
"Sudah tentu, kita memerlukan jurutera generasi baharu untuk membimbing kita. Itulah pentingnya kejuruteraan," jelasnya.
Pada kemuncak majlis, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menyaksikan penganugerahan gelaran Profesor Adjung Fakulti Kejuruteraan kepada Ahli Parlimen Tanjung Manis merangkap Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia Dato Ir Yusuf Abdul Wahab.
Beliau turut menyaksikan 11 pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai antara UNIMAS dengan pelbagai universiti antarabangsa, serta organisasi kebangsaan dan antarabangsa, termasuk pemain utama industri kejuruteraan.
Pertukaran MoU tersebut melibatkan TNB Lab Sdn Bhd, Pukyong National University Korea, University Of Kratie Cambodia, Pipeline Integrity Consulting Engineers Pte Ltd Singapura, Spring Semiconductor Sdn Bhd, Advanced Semiconductor Academy Of Malaysia, ZHA Environmental Sdn Bhd, MYCOLD, Dura Technology (Sarawak) Sdn Bhd, EPR (Kuching) Sdn Bhd dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak.
Hadir sama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Canselor UNIMAS Dr Ahmad Hata Rasit serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi