Sarawak Perkenal Insentif Penjagaan Warga Emas, Perkukuh Kebajikan dan Buka Peluang Kerjaya
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkenalkan bayaran insentif khas kepada penjawat awam yang terlibat dalam penjagaan warga emas sebagai langkah strategik memperkukuh kebajikan petugas, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta merancakkan peluang kerjaya dalam sektor penjagaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, insentif sebanyak RM200 sebulan itu merupakan pengiktirafan terhadap peranan penting petugas barisan hadapan yang berdepan tugas mencabar dalam memastikan kesejahteraan warga emas terus terpelihara.
“Pemberian kemudahan bayaran insentif adalah sebagai penghargaan dan motivasi kepada pegawai yang bertugas di institusi penjagaan warga emas untuk terus menyampaikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Bantuan Bayaran Insentif Penjagaan Warga Emas kepada Pegawai Perkhidmatan Awam di Rumah Sri Kenangan pada Selasa.
Menurut beliau, penjagaan warga emas memerlukan pendekatan profesional serta kemahiran khusus bagi memastikan golongan tersebut terus menikmati kehidupan yang bermaruah dan berkualiti.
“Penjagaan warga emas ini sama seperti kalau kita jaga kanak-kanak kecil, ia memerlukan kemahiran, memerlukan kefahaman dalam usaha kita memberi penjagaan yang terbaik kepada warga emas kita,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan memperluaskan latihan dan kursus berkaitan bagi meningkatkan profesionalisme penjaga serta memperkukuh ekosistem sektor penjagaan di negeri ini.
“Ini ialah satu kerjaya yang mulia… ia memerlukan kemahiran dan juga pengetahuan,” katanya.
Pada masa ini, Rumah Sri Kenangan menempatkan seramai 86 orang penghuni yang menerima penjagaan dan perkhidmatan kebajikan secara berterusan.
Tambah beliau, pembangunan industri penjagaan (caregiver industry) berpotensi menjadi sumber peluang pekerjaan baharu, khususnya kepada belia dan komuniti setempat, selari dengan peningkatan populasi warga emas di Sarawak.
Beliau menegaskan bahawa permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran dalam bidang penjagaan dijangka terus meningkat, bukan sahaja di institusi kebajikan tetapi juga di peringkat komuniti dan kediaman, sekali gus membuka ruang kepada kerjaya yang lebih mampan dalam sektor tersebut.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Semawi Mohamad, Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial Sarawak Riziandy Nawawi, Ketua Bahagian Kesejahteraan Sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Nurin Chunggat, dan Ketua Pegawai Akademik IESG merangkap Ketua Kampus CENTEX Dalat dan Lawas Dr Nadianatra Musa. -EDISI UKAS