JULAU: Kepimpinan baharu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau menyaksikan Inspektor Marson Lawai kini menggalas amanah sebagai Pemangku Ketua Polis Daerah Julau, dalam satu Majlis Serah Terima Tugas yang berlangsung penuh istiadat, di sini, pada Selasa.
Majlis berkenaan disaksikan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, serta dihadiri ketua-ketua bahagian, pegawai kanan polis, ketua polis balai, pegawai rendah polis dan pegawai awam.
Dalam upacara tersebut, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah secara rasmi menyerahkan tugas kepada Marson, menandakan peralihan kepimpinan yang diharap mampu memperkukuh lagi penyampaian perkhidmatan kepolisan di daerah ini.
Turut berlangsung ialah serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Julau daripada Azimah Malek kepada Hairane Supaat.
Datuk Mohamad Zainal dalam ucapannya berkata, majlis serah terima tugas itu bukan sekadar simbolik penyerahan jawatan, sebaliknya mencerminkan pengiktirafan terhadap komitmen dan dedikasi pegawai dalam memastikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Perubahan kepimpinan ini membawa tanggungjawab baharu yang memerlukan ketekunan, kebijaksanaan serta komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
“Saya yakin Inspektor Marson Lawai mampu menggalas tanggungjawab ini dengan cemerlang serta meneruskan kesinambungan kepimpinan yang unggul demi kesejahteraan masyarakat di daerah ini,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh warga IPD Julau agar terus memberikan kerjasama padu kepada pemangku Ketua Polis Daerah serta sentiasa memelihara imej pasukan melalui budaya kerja yang jujur, amanah dan berintegriti.-EDISI UKAS