Lawatan Kerja Jadi Platform Perkasa Perkhidmatan Kesihatan Daro
DARO: Lawatan kerja ke Hospital Daro dilihat sebagai langkah proaktif dalam mendapatkan maklum balas secara langsung daripada masyarakat setempat, sekali gus menjadi asas penting untuk menambah baik perkhidmatan kesihatan di kawasan ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib berkata pendekatan turun padang itu membolehkan pihaknya meneliti secara dekat keperluan semasa rakyat serta mengenal pasti ruang penambahbaikan yang perlu diberi perhatian.
“Kita memberi fokus kepada usaha untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan, khususnya melalui pembangunan klinik kesihatan baharu yang kini sedang dalam pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Jelajah Kesihatan Borneo Negeri Sarawak (Siri 2) di Hospital Daro, pada Selasa.
Sehubungan itu, Dato Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah memaklumkan perancangan utama adalah memastikan kemudahan Klinik Kesihatan baharu di Daro kelak mampu menawarkan perkhidmatan rawatan yang lebih menyeluruh, selaras dengan keperluan semasa penduduk.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa isu bekalan air merupakan antara cabaran utama yang dihadapi hospital berkenaan.
“Kawasan ini sering mengalami kekurangan bekalan air bersih, sekali gus menjejaskan keperluan harian serta aspek kebersihan, termasuk dalam penyediaan rawatan kesihatan.
“Keutamaan kita adalah memastikan setiap kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan benar-benar menepati keperluan rakyat serta mampu meningkatkan kualiti hidup mereka,” jelasnya.
Selepas melawat Hospital Daro, Dato Hanifah bersama rombongan turut melawat tapak pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 4) Daro dijangka siap pada Ogos 2028.
Selain kemudahan klinik, kuarters berkembar turut dibina bagi memudahkan warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertugas di kawasan tersebut.-EDISI UKAS