Jambatan Mega Sarawak Perkukuh Kesalinghubungan, Pacu Ekonomi Luar Bandar
DARO: Pembangunan rangkaian jambatan mega di Sarawak terus memperkukuh sistem perhubungan negeri, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memperkasa pembangunan luar bandar, khususnya di kawasan pesisir dan pedalaman.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, setakat ini sebanyak 10 jambatan mega telah siap sepenuhnya, manakala lapan lagi masih dalam pembinaan dan dijangka siap dalam tempoh terdekat.
Menurut beliau, projek berkenaan dilaksanakan di bawah inisiatif Jalan Pesisir dan Second Trunk Road yang bertujuan meningkatkan jaringan perhubungan serta aksesibiliti rakyat di seluruh negeri.
“Sebahagian besar projek berjalan lancar mengikut jadual tanpa sebarang isu besar, termasuk beberapa jambatan utama yang dijangka siap tahun ini,” katanya ketika lawatan kerja ke tapak projek Jambatan Batang Paloh, pada Selasa.
Tambah beliau, pembinaan jambatan mega ini bukan sahaja memendekkan masa perjalanan, malah membuka akses baharu kepada kawasan yang sebelum ini bergantung kepada pengangkutan sungai.
Menurutnya, kemudahan infrastruktur tersebut turut memberi impak langsung kepada peningkatan aktiviti ekonomi setempat termasuk sektor perikanan, pertanian dan perusahaan kecil dan sederhana.
“Apabila akses menjadi lebih mudah, kos logistik dapat dikurangkan dan ini membantu meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan Sarawak komited memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut spesifikasi serta piawaian keselamatan yang ditetapkan bagi menjamin manfaat jangka panjang kepada rakyat.-EDISI UKAS