Jambatan Batang Paloh, Igan dan Lassa Perkasa Akses Pesisir, Pacu Ekonomi Komuniti Setempat
DARO: Pembinaan jambatan seperti Batang Paloh, Batang Igan dan Batang Lassa memberi impak signifikan terhadap akses di kawasan Tanjung Manis, Pulau Bruit hingga ke Mukah.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata, rangkaian infrastruktur tersebut kini menjadi pemangkin utama kepada mobiliti rakyat, sekali gus mempercepatkan proses integrasi ekonomi antara kawasan pesisir dan pedalaman.
Beliau menjelaskan, kemudahan tersebut bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah menyokong pembangunan agropark serta meningkatkan aktiviti pengeluaran makanan di luar bandar.
“Jaringan jalan dan jambatan ini membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat desa, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka,” ujarnya ketika lawatan kerja ke tapak projek Jambatan Batang Paloh, pada Selasa.
Tambah beliau, pelaksanaan projek infrastruktur yang dipercepatkan kerajaan juga berjaya merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Katanya, perkembangan positif berkenaan turut menggalakkan penghijrahan semula penduduk ke kampung bagi mengusahakan tanah serta menjana ekonomi setempat.
Selain memperkukuh jaringan perhubungan, pembinaan jambatan tersebut turut membantu menambah baik kemudahan asas termasuk bekalan air di kawasan pedalaman, sekali gus memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.–EDISI UKAS