Kerajaan Komited Perkasa Kemudahan Pendidikan Luar Bandar di Pakan
PAKAN: Kerajaan terus komited memperkukuh prasarana pendidikan di kawasan luar bandar bagi memastikan pelajar di pedalaman menikmati akses pembelajaran yang setara dengan kawasan bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, usaha berterusan itu bukan sahaja meningkatkan kemudahan fizikal sekolah, malah turut mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada warga sekolah.
Menurut beliau, selain pembinaan dewan, kerajaan turut menambah baik kemudahan asas termasuk infrastruktur jalan bagi memudahkan akses pelajar dan guru ke sekolah.
“Kita tidak mahu sekolah di pedalaman ketinggalan, sebaliknya mampu berdiri sama tinggi dan bersaing dengan sekolah lain,” katanya ketika merasmikan Dewan Sri Kota di Sekolah Kebangsaan Nanga Kota, di sini, pada Selasa.
Beliau memaklumkan, dewan baharu bernilai lebih RM100,000 itu akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak sekolah bagi pelbagai aktiviti pendidikan serta kokurikulum.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) melalui Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi menyokong pelaksanaan program serta pembangunan sekolah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan peranan guru amat penting dalam membentuk masa depan generasi muda, khususnya di kawasan pedalaman, dan mereka perlu terus meningkatkan tahap profesionalisme dalam mendidik pelajar.
Tambahnya, kejayaan pelajar sekolah tersebut dalam pelbagai pertandingan seperti ngajat dan sepak takraw membuktikan bahawa pelajar luar bandar juga mempunyai potensi besar untuk berjaya.
“Guru perlu terus berusaha melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam kokurikulum, tetapi juga dalam akademik,” ujarnya.
Beliau menegaskan pembangunan pendidikan merupakan tanggungjawab bersama bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat secara inklusif tanpa mengira lokasi.- EDISI UKAS