Sarawak Percepat OSEIC Miri, Perluas Akses Intervensi Awal Kanak-Kanak
MIRI: Kerajaan Sarawak mempercepat pembangunan Pusat Intervensi Awal Setempat Sehenti (OSEIC) Miri bagi memperluas akses perkhidmatan intervensi awal kepada kanak-kanak berkeperluan khas, khususnya di wilayah utara negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, projek tersebut menjadi keutamaan dalam memastikan kanak-kanak menerima diagnosis dan intervensi awal secara sistematik bagi meningkatkan potensi perkembangan mereka.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak ke projek OSEIC Miri di Tudan pada Khamis.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah meluluskan geran berjumlah RM5.743 juta bagi pembangunan pusat berkenaan, melibatkan RM3.047 juta pada 2024 dan RM2.696 juta pada 2025.
Tambah beliau, lawatan tersebut bertujuan menilai kemajuan projek serta mengenal pasti sebarang isu pelaksanaan yang memerlukan tindakan segera bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual.
OSEIC Miri merupakan pusat intervensi awal kedua di Sarawak selepas kejayaan pusat sama di Kuching yang mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa.
Menurut beliau, pusat berkenaan akan menyediakan perkhidmatan diagnosis, penilaian dan intervensi awal kepada kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun melalui pendekatan khusus mengikut tahap keperluan masing-masing.
Pendekatan tersebut merangkumi sesi intervensi individu, kumpulan kecil serta persediaan ke arah kemasukan ke sistem pendidikan formal.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa intervensi awal memainkan peranan kritikal dalam memastikan perkembangan optimum kanak-kanak berkeperluan khas.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus bersama wakil agensi teknikal termasuk Jabatan Kerja Raya Sarawak, Majlis Bandaraya Miri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta pihak kontraktor.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan projek Transit Temporary Gathering (TTG) Miri turut dilaksanakan dan dijangka mula beroperasi tahun ini.
Tambah beliau, pembangunan OSEIC Miri dijangka menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh sistem sokongan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada kanak-kanak berkeperluan khas dan keluarga mereka di Sarawak.-EDISI UKAS