Kerajaan Utamakan Naik Taraf Jalan Balak Telang Usan
TELANG USAN: Pelaksanaan projek menambah baik jalan bekas balak dari Long Aya ke Long Sobeng bakal dilanjutkan ke Long Puah dan kawasan sekitarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, projek di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) itu merupakan antara keutamaan kerajaan negeri bagi meningkatkan jaringan perhubungan di kawasan pedalaman.
“Walaupun projek tersebut telah dirancang sejak 2018 dan berdepan pelbagai cabaran termasuk bentuk muka bumi yang sukar, kekangan logistik serta kos pembinaan yang tinggi, kerajaan tetap komited untuk merealisasikannya.
“Ini membuktikan kerajaan tidak pernah mengabaikan keperluan rakyat di pedalaman, sebaliknya terus berusaha memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah Projek Cadangan Menambah Baik Jalan Sedia Ada dari Simpang Lapok ke Long Puah, pada Khamis.
Long Aya terletak kira-kira 3 jam setengah perjalanan menggunakan pacuan empat roda dari Miri melalui jalan bekas balak yang berdebu dan tidak rata.
Untuk rekod, jalan ini merupakan sebahagian daripada 1,630 keseluruhan jalan balak yang terdapat di Telang Usan.
Projek menaik taraf jalan sepanjang 35 kilometer yang menelan kos RM133.4 juta dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.
Dato Dennis turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan kampung serta penduduk Ulu Tinjar yang disifatkan sabar dan matang sepanjang tempoh menunggu pelaksanaan projek tersebut.
“Walaupun projek ini sering dijadikan bahan politik setiap kali pilihan raya, rakyat di sini kekal tenang dan terus memberi kepercayaan kepada kerajaan. Kesabaran itu akhirnya membuahkan hasil pada hari ini,” ujarnya. – EDISI UKAS