MUKAH: Usaha memperkasa bakat komuniti berteraskan seni dan warisan budaya terus diperkukuh menerusi penganjuran Malam Bakat Kaul 2026 yang menjadi platform mencungkil potensi serta mengangkat identiti masyarakat tempatan.
Program anjuran Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak dengan kerjasama Persatuan Melanau Mukah itu menghimpunkan penyertaan komuniti dalam mengetengahkan kreativiti berasaskan warisan sempena Pesta Kaul Mukah 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kaul Mukah 2026, Abdul Yakub Arbi berkata, pendekatan berasaskan seni dan budaya merupakan medium strategik dalam membina potensi komuniti serta memperkukuh perpaduan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika hadir memeriahkan program tersebut pada Khamis.
Menurut beliau, penganjuran program seumpama ini bukan sahaja membuka ruang kepada pengembangan bakat, malah memastikan warisan budaya tempatan terus dipelihara dan kekal relevan dalam arus pembangunan semasa.
Dalam pertandingan tersebut, kumpulan Sanggar Tari muncul sebagai johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM800 berserta sijil dan hamper, diikuti The Little Boy of Kenyalang di tempat kedua serta Seni Tari Warisan Medong di tempat ketiga.
Kesemua peserta turut menerima sijil penyertaan sebagai penghargaan terhadap komitmen dan usaha sepanjang program berlangsung.
Malam Bakat Kaul 2026 bukan sekadar pertandingan, sebaliknya menjadi platform membina keyakinan diri, menggilap bakat serta memperkukuh jaringan sosial komuniti melalui pendekatan seni dan budaya.
Penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa komuniti secara inklusif dan progresif selari dengan aspirasi pembangunan Sarawak serta pengukuhan identiti budaya tempatan.-EDISI UKAS