Sarawak Sasar Jadi Hab Pelaburan Hijau ASEAN, Jalin Kerjasama Strategik Dengan Jerman
KUCHING: Sarawak terus melipatgandakan usaha untuk muncul sebagai hab pelaburan hijau dan ekonomi berteknologi tinggi terkemuka di ASEAN menerusi pengukuhan kerjasama strategik dengan Jerman, khususnya dalam sektor tenaga bersih, semikonduktor dan ekonomi digital.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, forum perniagaan Malaysia-Jerman bukan sekadar platform pertemuan perdagangan, malah mencerminkan kekuatan hubungan dua hala serta komitmen bersama dalam membentuk masa depan industri, inovasi dan pembangunan mampan.
Menurut beliau, Jerman terkenal di peringkat global menerusi kecemerlangan kejuruteraan dan pembuatan maju, manakala Sarawak pula memiliki sumber semula jadi yang besar serta hala tuju pembangunan yang jelas untuk muncul sebagai ekonomi berpendapatan tinggi berteraskan inovasi menjelang 2030.
“Kita berdepan ketidaktentuan global melibatkan ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos tenaga. Namun, cabaran ini turut membuka peluang besar kepada Sarawak untuk tampil sebagai destinasi pelaburan yang stabil, mampan dan kompetitif di rantau ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Perniagaan Malaysia-Jerman Ke-6 (GMBF) di Hotel Waterfront, Kuching pada Rabu.
Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, transformasi ekonomi negeri digerakkan menerusi tiga sektor strategik utama iaitu ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan maju.
Katanya, Sarawak kini giat memperkukuh agenda Industri 4.0 melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI), automasi dan teknologi pembuatan pintar.
Dalam sektor tenaga hijau pula, Sarawak menyasarkan kapasiti tenaga hijau sebanyak 10 gigawatt menjelang 2030 melibatkan hidroelektrik, hidrogen, bioenergi, teknologi ‘waste-to-energy’ serta bahan api penerbangan mampan.
“Bagi sektor pembuatan maju, Sarawak memberi tumpuan kepada aktiviti hiliran bernilai tinggi termasuk semikonduktor, aeroangkasa dan teknologi generasi baharu,” katanya.
Beliau berkata, keutamaan pembangunan itu selari dengan kekuatan industri dimiliki Jerman dan Sarawak bercita-cita memainkan peranan seperti Bavaria yang menjadi pemacu kecemerlangan industri di negara Eropah berkenaan.
Menurutnya, keyakinan pelabur asing terhadap Sarawak turut meningkat apabila beberapa syarikat berkaitan Jerman seperti X-FAB dan Behn Meyer telah mewujudkan operasi kukuh di negeri ini.
Katanya, pelaksanaan Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 dijangka menarik pelaburan bernilai RM2 bilion serta mewujudkan sekurang-kurangnya 3,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Dalam pada itu, beliau turut mempelawa syarikat Jerman untuk bekerjasama dalam pembangunan hidrogen di Bintulu, pengangkutan hijau di Kuching, ekonomi digital, automasi industri, Internet Kebendaan (IoT), ekonomi kitaran dan penyelesaian alam sekitar.
“Sarawak menawarkan kestabilan politik, dasar mesra pelabur, tenaga boleh diperbaharui yang kompetitif serta pentadbiran kerajaan yang jelas dan komited.
“Kami mempunyai sumber dan keazaman, manakala Jerman memiliki teknologi serta kepakaran. Gabungan ini mampu membina masa depan mampan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.- EDISI UKAS