Insentif SPM Cemerlang Suntik Semangat Pelajar Ke Arah Kecemerlangan Berterusan
MIRI: Usaha menghargai kecemerlangan akademik terus diperkasa apabila seramai 18 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Sekolah Menengah Pei Min diraikan dalam satu majlis penyampaian insentif yang berlangsung meriah di auditorium sekolah tersebut, pada Rabu.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang yang menegaskan bahawa pengiktirafan seumpama itu bukan sekadar ganjaran, tetapi dorongan berterusan untuk pelajar melangkah lebih jauh.
Menurut beliau, pencapaian cemerlang yang diraih merupakan hasil usaha gigih, disiplin serta ketabahan pelajar sepanjang tempoh pembelajaran.
“SPM hanyalah satu fasa dalam kehidupan dan bukan penamat. Sebaliknya, ia adalah permulaan kepada cabaran yang lebih besar. Teruskan menimba ilmu dan kekalkan semangat untuk berjaya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak kini melaksanakan inisiatif pendidikan tinggi percuma bagi membuka peluang lebih luas kepada golongan muda melanjutkan pengajian tanpa kekangan kewangan.
“Ilmu adalah kekuatan dan pembelajaran berterusan merupakan kunci utama untuk kekal berdaya saing,” tambahnya sambil menggalakkan pelajar merebut peluang tersebut demi masa depan yang lebih cerah.
Sementara itu, Guru Besar SM Pei Min, Pui Mui Kiaw berkata pencapaian keseluruhan sekolah dalam SPM 2025 amat membanggakan, termasuk dua pelajar yang berjaya memperoleh keputusan semua A bagi 10 mata pelajaran.
Katanya, prestasi subjek sains khususnya kimia terus mencatat kecemerlangan dengan peratusan A melebihi 90 peratus, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi guru dan pelajar.
“Ganjaran ini bukan sahaja mengiktiraf usaha lalu, tetapi menjadi pemangkin untuk pelajar terus berusaha serta membina kemahiran seperti disiplin, ketekunan dan keupayaan menyelesaikan masalah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Lembaga Pengurusan sekolah, Khor Ooi Long menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk guru dan ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam kejayaan pelajar.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan dan sikap tidak mudah berputus asa.
Majlis turut menyaksikan penyampaian insentif kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, melibatkan tiga pelajar meraih 10A, tiga pelajar (9A), dua pelajar (8A), tiga pelajar (7A), seorang pelajar (6A), empat pelajar (5A) dan dua pelajar (4A).
Majlis seumpama ini bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan akademik, malah berperanan sebagai platform memperkukuh hubungan antara sekolah, pemimpin dan komuniti dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti untuk masa depan negeri.-EDISI UKAS