ADUN Tarat Serah Pelantikan Semula Temenggong Iban Dan Cina Bahagian Serian
SERIAN: Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn telah menyerahkan Penyerahan Surat Pelantikan Semula Temenggong Iban dan Temenggong Cina Bahagian Serian yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Tingkat 5, Pejabat Residen Bahagian Serian, pada Rabu.
Majlis tersebut menyaksikan pelantikan semula Temenggong Iban, Dato Temenggong Harrison Lating Anak Lunsa serta Temenggong Cina, Temenggong Gee Ah Chok bagi meneruskan peranan kepimpinan masyarakat di peringkat akar umbi.
Surat pelantikan disampaikan oleh Dato Sri Roland Sagah dan disaksikan oleh Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph bersama Timbalan Residen, pegawai-pegawai daerah serta wakil pemimpin masyarakat dari seluruh Bahagian Serian.
Pelantikan semula ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem pentadbiran komuniti, khususnya dalam memastikan kepimpinan tradisional terus relevan sebagai penghubung utama antara kerajaan dan rakyat.
Temenggong memainkan peranan penting dalam menyelaras hal ehwal masyarakat setempat, termasuk penyampaian maklumat dasar kerajaan, pengurusan kebajikan penduduk, penyelesaian isu komuniti serta pemeliharaan adat resam dan keharmonian sosial.
Peranan ini amat signifikan di Bahagian Serian yang mempunyai kepelbagaian komuniti dan keperluan pembangunan di peringkat kampung.
Pelantikan semula ini turut mengambil kira prestasi, komitmen serta keupayaan penyandang dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat yang berkesan.
Untuk rekod, Dato Temenggong Harrison Lating Lunsa pertama kali dilantik pada 19 Ogos 2021 sebelum pelantikan seterusnya pada 1 September 2025 dan pelantikan terkini bermula 1 April 2025 hingga 31 Disember 2026.
Sementara itu, Temenggong Gee Ah Chok telah dilantik sebanyak empat kali iaitu pada 1 Februari 2020, 1 Februari 2022, 1 Februari 2024 dan pelantikan terkini bermula 1 Februari 2026 hingga 31 Disember 2026. -EDISI UKAS