200 Penerima Terima Bantuan Sempena Program Sejambak Kasih Gawai
BAU: Seramai 200 penerima daripada golongan sasar di kawasan Serembu menerima sumbangan menerusi Program Sejambak Kasih Gawai anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Bahagian Kuching yang berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Komuniti Serembu, Kampung Peninjau Baru, pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Dato Miro Simuh berkata, inisiatif berkenaan sebagai antara usaha berterusan dalam membantu golongan memerlukan, khususnya menjelang sambutan Hari Gawai Dayak.
"Sebanyak RM164,300 telah diperuntukkan bagi menjayakan inisiatif tersebut, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam membantu segenap lapisan masyarakat," katanya.
Tambahnya, seramai 1,483 penerima telah direkodkan bagi Bahagian Kuching, dengan 200 daripadanya diraikan pada hari ini melalui penyampaian sumbangan berbentuk wang tunai dan hamper.
Beliau berharap sumbangan yang disampaikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penerima dalam menceriakan sambutan Hari Gawai bersama keluarga, di samping mengingatkan agar aspek keselamatan, kesihatan dan keharmonian keluarga sentiasa diberi keutamaan sepanjang musim perayaan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah JKM Sarawak Norhayati Abdul Rahman berkata, penganjuran program Sejambak Kasih bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan, malah menjadi platform dalam menyemai nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta memperkukuh keharmonian.
"Seramai 200 penerima telah dikenal pasti untuk menerima sumbangan dalam program kali ini sebagai persediaan menjelang perayaan, selaras dengan usaha berterusan memastikan kebajikan golongan sasar terus diberi perhatian," katanya.
Tambahnya, program Sejambak Kasih akan terus dilaksanakan bersempena setiap perayaan utama bagi memperluaskan jangkauan bantuan dan mencapai objektif yang ditetapkan. -EDISI UKAS