Penganjuran Pesta Air Perlu Dinilai Dari Pelbagai Sudut
KUCHING: Penganjuran acara Pesta Air perlu diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira lokasi, keselamatan awam, kesesakan lalu lintas serta kepentingan pemilik premis sekitar, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Mengulas mengenai Rain Rave Water Music Festival 2026 dijadual diadakan di Bukit Bintang, beliau berkata, acara seumpama itu mempunyai nilai positif kerana mampu menghimpunkan institusi keluarga serta mewujudkan suasana riang dalam kalangan masyarakat.
"Kadangkala perkara inilah yang menimbulkan kesukaran kerana secara peribadi, saya merasakan jika ia diadakan di Bukit Bintang, khususnya berhampiran Pavilion, ia berkemungkinan menjejaskan keadaan sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kejohanan Futsal Piala Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) SABERKAS di Arena Sukan Simpang Tiga, di sini, pada Jumaat.
Dato Sri Abdul Karim juga berpendapat lokasi di kawasan pusat perniagaan utama kurang sesuai untuk acara sedemikian.
"Ini kerana pandangan pemilik bangunan di kawasan tersebut juga perlu diambil kira di mana orang ramai berlari masuk ke bangunan dalam keadaan basah mungkin akan menimbulkan kesulitan," katanya.
Tambahnya, perkara ini perlu dipertimbangkan oleh pihak berkuasa tempatan sebelum mencadangkan atau meluluskan mana-mana lokasi.
Malah beliau yakin, penganjuran program itu akan dapat mendapat bantahan jika diadakan bersebelahan kompleks bangunan di sini kerana boleh menyebabkan masalah lalu lintas.
"Biarpun ada yang datang memang mahu bermain air, tetapi ada juga yang mungkin tidak tahu dan tiba-tiba terkena air lalu panik.
"Keadaan seperti itu boleh menyebabkan kemalangan atau kerosakan harta benda, maka sebab itu ia perlu dipertimbangkan dari pelbagai sudut," ujar beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Shahril Haqim