Feri Sebauh Dipindah ke Pandan, Jambatan Jadi Laluan Utama
BINTULU: Operasi feri di Sebauh akan dipindahkan ke Pandan susulan siapnya Jambatan Sebauh yang kini mengambil alih peranan sebagai laluan utama, sekali gus meningkatkan aksesibiliti dan mengurangkan kebergantungan terhadap pengangkutan air.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada penstrukturan semula sistem perhubungan luar bandar selaras dengan peningkatan infrastruktur di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, cadangan awal untuk memindahkan operasi feri ke Kampung Labang telah diteliti, namun pembinaan jambatan dikenal pasti sebagai penyelesaian jangka panjang yang lebih efektif dan mampan.
“Permintaan penduduk agar feri dipindahkan ke Pandan juga telah dipersetujui dan perkara ini akan dibawa ke peringkat kementerian untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mantar Gawai Dayak Sebauh 2026 di Restaurant Dinner World pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan projek pembinaan jalan dan jambatan baharu yang menghubungkan beberapa rumah panjang di Sebauh turut diluluskan dengan kos RM27 juta.
Tambah beliau, pelaksanaan projek tersebut akan terus memperkukuh jaringan perhubungan luar bandar serta meningkatkan mobiliti dan akses kepada perkhidmatan asas bagi penduduk setempat.
Langkah pemindahan operasi feri serta pembangunan infrastruktur baharu ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam mempercepat pembangunan luar bandar secara menyeluruh dan berimpak tinggi.-EDISI UKAS