Sarawak Pacu Reformasi Kesihatan Oral, Perkukuh Digitalisasi dan Akses Rawatan
KUCHING: Sarawak mempercepat reformasi sektor kesihatan oral dengan memperkukuh digitalisasi sistem kesihatan, memperluas akses rawatan serta mengukuhkan sinergi awam-swasta bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan inklusif.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan bahawa pendekatan holistik dalam penjagaan kesihatan oral menjadi keutamaan selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Menjelang tahun 2026 sebagai tahun permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), kita beralih daripada fasa perancangan strategik kepada fasa pelaksanaan yang memberi hasil nyata di lapangan.”
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah sempena perasmian 14th Borneo Dental Congress & Trade Exhibition 2026 di Kuching pada Jumaat.
Premier berkata, sektor kesihatan oral perlu diberi perhatian serius memandangkan lebih 3.5 bilion penduduk dunia terjejas oleh penyakit berkaitan oral.
Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan sinergi antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuh sistem kesihatan negeri.
“Saya percaya kepada sinergi antara sektor awam dan swasta kerana sektor swasta memainkan peranan penting dalam membina ekosistem kesihatan yang kukuh dan berdaya tahan,” tambahnya.
Dalam usaha memperluas akses rawatan, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah memperuntukkan RM50 juta bagi pelaksanaan Skim Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB) yang memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 warga emas, termasuk rawatan pesakit luar secara tanpa tunai sehingga RM500 setahun.
Selain itu, Sarawak ujarnya turut memperkukuh agenda digitalisasi melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Klinik Berasaskan Awan (CCMS) bernilai RM10 juta, dengan 153 klinik kesihatan kini telah didigitalkan.
Tegasnya lagi, Sarawak berpotensi muncul sebagai hab pelancongan pergigian serantau dengan kos rawatan yang kompetitif serta kualiti perkhidmatan yang tinggi.
“Kita ingin memberitahu dunia: datang ke Sarawak untuk rawatan pergigian dan nikmati keindahan hutan hujan serta budaya kita. Kos rawatan di sini kekal kompetitif berbanding negara lain tanpa menjejaskan kualiti,” katanya.
Tambah beliau, peluasan perkhidmatan turut dilaksanakan melalui inisiatif seperti Mobile Dental Squad dan program “Kampung Angkat Pergigian” bagi memastikan akses rawatan sampai ke kawasan luar bandar.
Penganjuran kongres tersebut dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh kerjasama profesional serta memacu inovasi sektor pergigian, sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi peneraju perkhidmatan kesihatan berkualiti di rantau ini.-EDISI UKAS
Wartawan: Lonney Jinab
Jurugambar: Mohammad Naseem Razali