Perpustakaan Desa Pinang Dinaik Taraf, Berfungsi Sebagai Pusat Komuniti Digital Setempat
KOTA SAMARAHAN: Perpustakaan Desa (PD) Pinang di Kampung Pinang kini kembali beroperasi dan dibuka kepada orang ramai selepas melalui kerja-kerja naik taraf, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai pusat pembelajaran dan komuniti digital setempat.
Majlis perasmian perpustakaan tersebut disempurnakan oleh Pegawai Daerah (DO) Ahmad Razak, dengan kehadiran Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Kr. Abang Ismawi Abang Ali.
Dalam ucapannya, Kr. Abang Ismawi Abang Ali menegaskan bahawa perpustakaan tersebut bukanlah sebuah fasiliti baharu, sebaliknya telah dibaik pulih bagi meningkatkan kemudahan dan menarik lebih ramai pengunjung.
Menurut beliau, usaha naik taraf itu penting berikutan penurunan jumlah kehadiran orang ramai ke perpustakaan desa di seluruh Sarawak kebelakangan ini.
“Dengan penambahbaikan ini, termasuk pemasangan kemudahan internet, perpustakaan desa ini berfungsi sebagai pusat komuniti digital, selaras dengan keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media semasa ditemui selepas majlis perasmian Perpustakaan Desa Pinang, Kampung Pinang Kota Samarahan pada Sabtu.
Beliau turut memaklumkan bahawa kelebihan Kota Samarahan yang menempatkan pelbagai institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Institut Perguruan Tun Abdul Razak akan dimanfaatkan sepenuhnya.
Katanya, pihak MPKS akan bekerjasama dengan institusi berkenaan untuk menganjurkan pelbagai aktiviti pada hujung minggu di perpustakaan desa tersebut, khususnya melibatkan penyertaan pelajar.
Sehubungan itu, waktu operasi perpustakaan desa juga telah diselaraskan daripada Isnin hingga Jumaat kepada Selasa hingga Sabtu, bagi memberi ruang pelaksanaan aktiviti komuniti pada hari Sabtu.
Tambah beliau, dengan pembukaan semula perpustakaan desa yang dinaik taraf itu, ia diharap dapat menjadi platform berterusan dalam memperkasa pendidikan, literasi digital serta pembangunan sahsiah anak-anak di kawasan setempat.- EDISI UKAS