Jelajah Pra Gawai Masuki Hari Ke-10, ADUN Meradong Terus Dengar Suara Rakyat
MERADONG: Program Pra Gawai bagi hari ke-10 anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong diteruskan dengan lawatan ke beberapa rumah panjang di kawasan Batu 2, Batu 2½ dan Batu 3, Jalan KJD Bintangor, pada Jumaat.
Lawatan tersebut diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bersama rombongan ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor.
Sepanjang lawatan itu, beliau meluangkan masa untuk mendengar sendiri permasalahan serta menerima surat permohonan daripada tuai rumah dan penduduk setempat.
Menurutnya, program Pra Gawai yang dilaksanakan setiap tahun bukan sekadar lawatan bermusim, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan untuk mendekati rakyat khususnya di kawasan rumah panjang.
“Setiap tahun kita akan turun padang, tanpa mengira jauh atau dekat, panjang atau pendek sesebuah rumah panjang, kita tetap akan berkunjung,” katanya semasa berucap.
Dalam pada itu, Datuk Ding menegaskan bahawa pembangunan di kawasan luar bandar akan terus diperkasakan melalui pelbagai peruntukan seperti Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP), Program Pembaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS), Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) serta Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).-EDISI UKAS