Kembara D’ Astana Singgah Di Kampung Triso Sebagai Destinasi Pertama
PUSA: Kampung Triso menjadi destinasi pertama persinggahan Program Kembara D’ Astana yang menyusuri Sungai Sarawak.
Program pada Sabtu itu menyaksikan keberangkatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dalam rangka lawatan menyantuni penduduk serta sanak saudara di kampung berkenaan.
Terdahulu, pelayaran bermula dari Jeti Terminal Penumpang Kuching, Pending dengan menaiki katamaran Damai Princess sebelum tiba di Kampung Triso.
Sepanjang pelayaran, rombongan diiringi bot-bot interceptor Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Pasukan Polis Marin serta Lembaga Sungai-Sungai Sarawak sebagai langkah memastikan kelancaran dan keselamatan perjalanan rasmi tersebut.
Turut mengiringi ialah anakanda-anakanda baginda, Sharifah Fariah dan Sharifah Nong-Jasima bersama pasangan masing-masing, Muhammad Nur Hakeem, serta Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Dato Sri Syed Hamzah Syed Paiee.
Ketibaan rombongan disambut meriah oleh penduduk setempat, sekali gus mencerminkan keakraban serta hubungan erat yang terus terjalin antara pemimpin negeri dan komuniti akar umbi.
Sepanjang lawatan, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut menziarahi tanah perkuburan Kampung Triso selain meninjau tapak rumah lama serta telaga lama yang mempunyai nilai sejarah dan nostalgia tersendiri.
Rombongan turut menunaikan solat berjemaah di Masjid Al-Muhajirin Kampung Triso sebelum meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk setempat dan menghadiri jamuan makan tengah hari bersama keluarga serta komuniti kampung.
Dalam pada itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Masjid Al-Muhajirin sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan institusi keagamaan di kawasan tersebut.
Antara yang hadir sama ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia dan Sukan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Datuk Gerald Rentap Jabu, ADUN Beting Maro Dato Razaili Gapor, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Pegawai Daerah Pusa Hamdan Katang, Temenggong Bahagian Betong Ayahanda Piee Alwi, serta Ketua Kampung Triso Awang Mos Sulaiman.-EDISI UKAS