Ibu Bapa Perlu Proaktif Pastikan Anak Manfaat Pendidikan Percuma
BINTULU: Ibu bapa perlu bertindak lebih proaktif dalam memastikan anak-anak memanfaatkan sepenuhnya peluang pendidikan tertiari percuma yang disediakan Kerajaan Sarawak bagi meningkatkan pencapaian akademik serta mobiliti sosial generasi muda.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kejayaan pelajar bukan sahaja bergantung kepada usaha individu, malah sokongan keluarga turut menjadi faktor penentu.
Menurut beliau, skim pendidikan percuma tersebut terbuka kepada semua anak Sarawak tanpa mengira latar belakang serta meliputi pelbagai bidang termasuk sains, perakaunan dan undang-undang.
“Oleh itu, anak-anak perlu diberi perhatian dan dorongan supaya mereka belajar bersungguh-sungguh dan mencapai keputusan cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pengerami Ngabang Gawai Begulai Enggau Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kakus di Bintulu pada Sabtu.
Tambah beliau, peluang tersebut boleh dimanfaatkan di institusi pengajian tinggi milik Sarawak seperti Kolej Universiti i-CATS, Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Curtin Malaysia dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Pada majlis sama, seramai 19 pelajar menerima insentif pendidikan PBB bagi tahun 2026 melibatkan tujuh pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lapan pelajar diploma dan empat pelajar ijazah.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan projek pembinaan jalan Sungai Arip bernilai RM50 juta akan ditender pada Julai ini bagi meningkatkan akses perhubungan luar bandar.
Katanya, projek tersebut melibatkan pembinaan laluan dari Sekolah Arip ke Rumah Mambang, Rumah Laja dan Rumah Anas.
Turut hadir Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Senator Michael Mujah Lihan, Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta serta ADUN Jepak Iskandar Turkee.
Inisiatif pendidikan percuma ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan modal insan serta melahirkan generasi berpendidikan dan berdaya saing di Sarawak.-EDISI UKAS