Gunung Silabur Bakal Dibangunkan Sebagai Produk Ekopelancongan Baharu Tebedu
TEBEDU: Kawasan Gunung Silabur akan dibangunkan sebagai produk pelancongan baharu yang berpotensi menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara ke kawasan Kampung Lobang Batu Mawang, Batu Bedang dan Lin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Anak Bada berkata, pembangunan itu dilihat sebagai langkah strategik memanfaatkan potensi semula jadi kawasan berkenaan susulan populariti penganjuran program Silabur Ultra Trail.
Menurutnya, kawasan Gunung Silabur akan dibangunkan di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dengan peruntukan sebanyak RM13 juta yang akan dilaksanakan di Kampung Lobang Batu Mawang dan dijangka ditender pada tahun ini.
“Pembangunan tersebut merangkumi pembinaan jalan akses berturap ke kawasan Gunung Silabur serta penyediaan kemudahan asas lain seperti dewan dan rumah penginapan.
“Kemudahan ini bertujuan menyokong pelbagai penganjuran program dan aktiviti, sama ada melibatkan komuniti setempat mahupun acara luar seperti Silabur Ultra Trail,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Majlis Penangguhan dan Penyampaian Hadiah Silabur Ultra Trail 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Batu Bedang pada Ahad.
Program anjuran The Alpha Events itu berlangsung selama dua hari bermula 2 hingga 3 Mei 2026 dengan penyertaan seramai 524 peserta dari rantau Asia termasuk Malaysia, Singapura, Filipina dan Taiwan.
Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu 15 kilometer, 30 kilometer, 50 kilometer dan 100 kilometer yang menguji ketahanan fizikal serta mental peserta.
Pada majlis tersebut, Dr Simon turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 bagi kerja-kerja naik taraf Gereja St. Martinus Batu Bedang sebagai sokongan kepada kemudahan masyarakat setempat. -EDISI UKAS