MSC B Ungguli Kategori Berkumpulan, Ibrahim Abdul Majid Juara Individu
MUKAH: Saingan Pertandingan Slingshot Kaul Mukah 2026 menyaksikan pasukan tuan rumah, Mukah Slingshot Club (MSC) B, muncul juara bagi Kategori 10 Meter Berkumpulan selepas menewaskan 11 pasukan lain yang mengambil bahagian.
Tempat kedua dimenangi oleh Vaie Slingshot Shooter Team, manakala Rejang Slingshot Club melengkapkan kedudukan tiga terbaik dalam kategori tersebut.
Bagi Kategori 10 Meter Individu, Ibrahim Abdul Majid menampilkan prestasi cemerlang untuk dinobatkan sebagai johan selepas mengatasi 71 peserta lain.
Jefferson Gandai menduduki tempat kedua, diikuti wakil tuan rumah, Mazelan Abang, di tempat ketiga.
Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian merangkap Timbalan Presiden Persatuan Melanau Mukah, Royston Valentine dalam satu majlis yang diadakan pada Sabtu.
Menurut Jawatankuasa Publisiti, June Adeng, penganjuran pertandingan tersebut telah diamanahkan kepada Kenyalang Slingshot, dan tahun ini merupakan edisi kedua ia dianjurkan bersempena sambutan Kaul Mukah.
Beliau berkata, pertandingan berkenaan bukan sahaja bertujuan memeriahkan penganjuran Kaul Mukah 2026, malah menjadi platform untuk memperkenalkan sukan slingshot kepada masyarakat secara lebih meluas.
“Melalui pertandingan ini, kami berharap sukan slingshot dapat terus berkembang sebagai salah satu cabang sukan berpotensi di Sarawak.
“Selain itu, ia juga membuka peluang kepada individu yang baru berjinak-jinak dalam sukan ini untuk mempelajari teknik serta etika yang betul, di samping memupuk semangat perpaduan dalam kalangan peserta,” katanya.
Tambah June, pertandingan tersebut turut memberi ruang kepada masyarakat untuk menyaksikan sendiri keunikan dan cabaran sukan slingshot sekali gus meningkatkan kesedaran tentang disiplin yang diperlukan dalam sukan itu.
Pertandingan Slingshot Kaul Mukah 2026 merupakan antara acara sampingan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta tempatan dan luar kawasan sepanjang berlangsungnya pesta berkenaan.-EDISI UKAS