MUKAH: Perahu Salui Lukut, JOLAMAS milik Cobra Danau Team menjuarai kategori Raja Salui Lukut pada Pertandingan Lumba Salui Lukut Kaul Mukah 2026 selepas mengatasi lima pencabar lain dalam acara kemuncak yang berlangsung di Tapak Pesta Kaul, pada Ahad.
Kemenangan tersebut melayakkan JOLAMAS membawa pulang piala serta wang tunai RM1,000, sekali gus mengukuhkan reputasi pasukan itu dalam acara tradisional berkenaan.
Tempat kedua dimenangi oleh Booster 5 milik Banyao Samail, manakala Intan Permata 2 menduduki tempat ketiga.
Sementara itu, Sikklon Tropika, Pak Wok 1 dan Lipas Kudong masing-masing menerima hadiah saguhati.
Penyampaian hadiah bagi kategori ini telah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Melanau Mukah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kaul Mukah 2026 serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi.
Dalam kategori Harapan, Koco Jang Koco muncul sebagai johan, diikuti Layar Bertuah Satu di tempat kedua dan Dendang Selayang di kedudukan ketiga.
Turut menerima hadiah saguhati ialah Rejang Sakti N58, Putera Kala Udan dan Cahaya Alap-alap 2.
Penyampaian hadiah bagi kategori Harapan itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.
Sebanyak 268 penyertaan telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut, mencerminkan sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta tempatan dan luar kawasan.
Pertandingan Lumba Salui Lukut Kaul Mukah 2026 dianjurkan oleh Persatuan Melanau Mukah dengan kerjasama Armada Generasi Warisan Mukah sebagai pengelola dan kekal sebagai antara acara utama yang menjadi tarikan pengunjung sempena sambutan Kaul Mukah setiap tahun.-EDISI UKAS