TYT Sarawak, Isteri Hadiri Majlis Wida Keberangkatan Haji Di Masjid Al-Muflihin Sebuyau
SEBUYAU: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menghadiri Majlis Wida Keberangkatan Haji di Masjid Al-Muflihin, di sini, pada Sabtu.
Ketibaan beliau berdua dan rombongan disambut mesra oleh jawatankuasa masjid serta para jemaah sebelum bersama-sama menunaikan solat fardu Maghrib berjemaah.
Turut hadir Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang serta Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang.
Program dimulakan dengan solat fardu Maghrib berjemaah sebelum diteruskan dengan tazkirah bertajuk “Mengejar Haji Mabrur” yang disampaikan Pegawai Agama Bahagian Samarahan, Ustaz Bahrin Kawi.
Sebelum menunaikan solat fardu Isyak berjemaah, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Muflihin Sebuyau sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa aktiviti keagamaan dan pengimarahan masjid di kawasan tersebut.
Penyerahan sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan negeri dalam membantu institusi masjid sebagai pusat pembangunan rohani dan perpaduan masyarakat.
Selesai solat fardu Isyak berjemaah, mereka berdua serta para tetamu menghadiri majlis makan malam bersama masyarakat dalam suasana penuh harmoni dan ukhuwah.
Majlis makan malam tersebut menghimpunkan komuniti setempat daripada pelbagai latar belakang dan kaum, sekali gus mencerminkan keharmonian serta semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat Sebuyau. -EDISI UKAS