Kembara D’Astana Singgah di Lingga, Tinjau Perkembangan Setempat
LINGGA: Program Kembara D’Astana diteruskan dengan persinggahan di Pekan Lingga pada Ahad, sekali gus memberi peluang mendekati masyarakat setempat serta menyantuni komuniti di kawasan tersebut.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi tiba di jeti Pekan Lingga pada jam 10.20 pagi.
Mereka disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Bukit Begunan Datuk Mong Dagang, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Pegawai Daerah Lingga Frank Lani dan Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang.
Setibanya di jeti, rombongan seterusnya berangkat ke Dataran Lingga bagi sesi fotografi sebelum meneruskan program di Dewan Masjid Al-Hana Lingga.
Sepanjang berada di dewan tersebut, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah meluangkan masa melawat kaunter pameran serta menandatangani potret keluarga mantan Temenggong Abang Bohari Abang Zen sebagai simbol penghargaan terhadap warisan sejarah tempatan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dayang Noorazah memaklumkan bahawa Lingga dipilih sebagai salah satu destinasi Kembara D’Astana berikutan nilai sejarah dan signifikan kawasan tersebut kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Menurut beliau, program berkenaan merupakan inisiatif Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi sendiri yang menggunakan laluan sungai bermula dari Kuching ke Triso dan Sebuyau sebelum tiba di Lingga.
Tambahnya, pengalaman Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi sebagai Ahli Parlimen Batang Lupar dari tahun 1990 hingga 2004 memberi peluang kepada beliau untuk melihat sendiri perubahan pembangunan Lingga yang kini telah berkembang daripada daerah kecil kepada daerah penuh.
Program turut diserikan dengan tayangan video pendek hasil penyelidikan para penyelidik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM ) Kota Samarahan mengenai Kerajaan Lingga-Banting, yang menjadi sebahagian daripada sejarah awal pembentukan kerajaan di kawasan tersebut.
Dalam majlis sama, mantan Temenggong Abang Bohari menyerahkan manuskrip warisan kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi sebagai usaha memelihara khazanah sejarah tempatan.
Turut berlangsung ialah penyerahan replika cek bernilai RM20,000 daripada pihak Astana Negeri Sarawak kepada Masjid Al-Hana Lingga.
Program kemudiannya diteruskan dengan majlis makan tengah hari bersama masyarakat setempat sebelum rombongan berangkat pulang pada jam 12.30 tengah hari.
Hadir sama, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak Datuk Amar Jaul Samion.-EDISI UKAS