Klinik Kesihatan Kuala Mendalam Memerlukan Kerja Baik Pulih Segera
LIMBANG: Klinik Kesihatan Kuala Mendalam memerlukan kerja-kerja membaik pulih segera susulan kerosakan pada struktur bumbung akibat dilanda ribut kencang baru-baru ini.
Susulan insiden berkenaan, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, turun padang meninjau kerosakan struktur Klinik Kesihatan Kuala Mendalam.
Dalam lawatan tersebut, beliau berdua telah melihat sendiri tahap kerosakan dengan menaiki tangga bagi meninjau keadaan atap bangunan yang terjejas, selain mendapatkan taklimat terperinci daripada Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang berhubung situasi semasa operasi klinik.
Hasil tinjauan mendapati kerosakan pada bahagian bumbung telah menyebabkan kebocoran serius sehingga menjejaskan ruang dalaman, termasuk stor ubat yang dimasuki air sehingga mengakibatkan sebahagian stok perubatan dan barangan kesihatan rosak serta tidak dapat digunakan.
Walaupun berdepan kerosakan infrastruktur, perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat masih diteruskan menggunakan bangunan klinik lama sebagai langkah sementara bagi memastikan akses rawatan tidak terganggu.
Kedua-dua pemimpin berkenaan berharap agar kerja-kerja baik pulih dapat dilaksanakan dengan kadar segera demi memastikan kemudahan kesihatan yang selamat dan selesa kepada penduduk. -EDISI UKAS