BINTULU: Sambutan Gawai pada masa depan dicadangkan diadakan di lokasi yang lebih mencerminkan identiti masyarakat Dayak seperti rumah panjang.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan warisan budaya masyarakat terus dipelihara.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu, penganjuran di lokasi yang lebih autentik mampu mengangkat nilai tradisi termasuk elemen budaya seperti Kumang dan Keling serta adat berkaitan Gawai.
“Pada masa akan datang, saya berharap sambutan Gawai dapat diadakan di lokasi yang lebih mencerminkan identiti komuniti seperti rumah panjang atau tempat sendiri, bukan seperti sekarang.
“Kita perlu memikirkan masa depan supaya budaya terus terpelihara, termasuk warisan seperti Kumang, Keling serta pelbagai adat dan aktiviti berkaitan Gawai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Pengerami Ngabang Gawai Begulai Enggau Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kakus di sini, pada Sabtu.
Katanya lagi, sambutan Gawai bukan sekadar perayaan, sebaliknya menjadi platform untuk masyarakat menilai pencapaian sepanjang tahun di mana komuniti perlu menilai hasil usaha sama ada memperoleh keuntungan atau sebaliknya serta mengambil langkah penambahbaikan bagi memastikan kemajuan berterusan.
“Kita tidak boleh berasa selesa dengan keadaan semasa, sebaliknya perlu sentiasa mencabar diri agar mampu bersaing dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, pekerjaan dan ekonomi.
“Jika orang lain boleh berjaya, kita juga mampu mencapainya dengan usaha dan semangat yang tinggi,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Senator Michael Mujah Lihan, Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, ADUN Jepak Iskandar Turkee, Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti, Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong Bujang @ Endawie dan Pegawai Daerah Sebauh Thadeus Ling Bartholomew Allu. -EDISI UKAS