Penambahan Aset & Akademi Baharu JBPM Perkukuh Kesiapsiagaan Bencana Di Sarawak
MIRI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan menghadapi sebarang bencana di Sarawak melalui penambahan aset operasi serta perancangan pembangunan infrastruktur latihan baharu.
Ketua Pengarah JBPM, Dato Sri Ts Nor Hisham Mohammad berkata, setakat ini pihaknya telah menerima 80 unit daripada keseluruhan 200 kenderaan ‘Light Operation Vehicle’ (LOV) yang diperoleh bagi meningkatkan keupayaan operasi jabatan, khususnya dalam misi mencari dan menyelamat.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, penghantaran seterusnya melibatkan 40 unit akan memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak, dengan Sarawak dijangka menerima sebanyak 25 unit bermula bulan hadapan.
Penambahan aset ini katanya amat penting bagi menggantikan kenderaan utiliti lama serta memastikan pergerakan pasukan bomba ke lokasi insiden dapat dilakukan dengan lebih pantas dan efisien.
“Daripada 25 unit yang akan dihantar ke Sarawak, tujuh daripadanya dilengkapi dengan keupayaan untuk meredah banjir.
“Ini amat bersesuaian dengan keadaan geografi negeri ini yang kerap berdepan situasi banjir dan dijangka dapat membantu meningkatkan keberkesanan operasi di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi pelepasan Larian Jubli Emas JBPM 2026 di Bangunan Majlis Bandaraya Miri, Marina Parkcity, di sini, pada Ahad.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan mengenai kemajuan projek pembinaan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Sarawak yang akan dibangunkan di Kota Samarahan.
Projek tersebut merupakan antara projek terbesar JBPM di bawah Rancangan Malaysia dan kini berada pada peringkat pelantikan perunding profesional bagi tujuan reka bentuk terperinci.
Menurut beliau, proses tender dijangka akan dibuka seawal tahun hadapan, manakala pembinaan dijangka mengambil masa beberapa tahun dengan sasaran siap seawal tahun 2029.
Akademi berkenaan dijangka mampu menampung kira-kira 150 pelatih pada satu-satu masa dan akan dilengkapi dengan kemudahan simulator serta peralatan latihan berteknologi tinggi, sekali gus menjadi antara pusat latihan bomba paling moden di negara ini. -EDISI UKAS