SRI AMAN: Masyarakat khususnya di rumah panjang diseru agar terus mengekalkan dan memelihara budaya Iban terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, usaha itu penting bagi memastikan adat serta identiti masyarakat terus terpelihara dan tidak luput ditelan zaman.
“Setiap rumah panjang perlu terus mengekalkan dan memelihara budaya Iban agar warisan nenek moyang sentiasa subur dalam kalangan generasi muda,” katanya ketika merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Mantar Gawai 2026 di Rumah Dumy, Gua Dalam, di sini, pada Sabtu.
Selain itu, Datuk Mong menambah, sambutan Hari Gawai perlu digunakan oleh masyarakat Iban untuk merapatkan lagi silaturahim antara keluarga dan komuniti setempat.
Ujarnya, sambutan Hari Gawai bukan sahaja sebagai pesta menuai, malah merupakan masa terbaik untuk ahli keluarga berkumpul, bertemu serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama keluarga selain terus berhubung dengan sanak-saudara dan jiran tetangga.
Sempena Hari Gawai yang bakal tiba, beliau menyeru masyarakat agar berbelanja secara berhemah dan mengutamakan keperluan semasa membuat persiapan untuk perayaan tersebut terutamanya berdepan dengan peningkatan kos sara hidup disebabkan ketidaktentuan ekonomi.
Beliau turut mengumumkan peruntukan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM12,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Dumy, RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Dumy, RM8,000 kepada JKKK Rumah Kunie, Gua Sukat serta RM3,000 kepada Biro Wanita Rumah Kunie, Gua Sukat. -EDISI UKAS