Tiada Kampung Di Opar Dipinggirkan Daripada Arus Pembangunan
LUNDU: Tiada kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar akan dipinggirkan daripada arus pembangunan dalam memastikan kawasan luar bandar turut menerima limpahan secara inklusif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, pelbagai projek telah dilaksanakan di Kampung Perundang termasuk kerja baik pulih balai raya, penurapan jalan dari rumah ke rumah serta penyediaan sistem paip air graviti bagi meningkatkan kemudahan asas penduduk.
“Usaha itu akan terus dipergiat dengan pelaksanaan beberapa projek baharu dalam masa terdekat seperti pemasangan lampu jalan, pembinaan dewan serbaguna serta penambahbaikan sistem bekalan air graviti demi keselesaan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Balai Raya Kampung Perundang, di sini, pada Sabtu.
Billy turut menekankan kepentingan pembangunan sektor pertanian sebagai pemacu ekonomi luar bandar, dengan pelaksanaan projek jalan pertanian yang akan memudahkan akses serta meningkatkan produktiviti para petani.
Mengulas mengenai pembangunan modal insan, beliau menegaskan bahawa pendidikan merupakan kunci utama dalam mengubah taraf hidup masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan golongan muda untuk merebut peluang pendidikan dan latihan kemahiran percuma yang ditawarkan melalui institusi seperti Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), khususnya dalam bidang kejuruteraan, ukur bahan dan perundangan yang mempunyai potensi kerjaya luas.
Sebagai sokongan kepada pembangunan pendidikan dan komuniti, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 masing-masing kepada Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) dan PIBG SK Holy Name Rukam.
Selain itu, peruntukan sebanyak RM150,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 turut diluluskan bagi kerja naik taraf Balai Raya Kampung Perundang Fasa 2. -EDISI UKAS