SPAOH: Komitmen memperkasa pendidikan luar bandar terus diperkukuh apabila Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II serta Menteri Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyalurkan sumbangan berjumlah RM30,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Spaoh.
Sumbangan tersebut disampaikan dalam satu majlis ringkas penyerahan Interactive Smart Board dan bantuan aktiviti PIBG yang berlangsung di Pusat Warga Emas Spaoh pada Ahad, anjuran Pusat Khidmat DUN Bukit Saban.
Peruntukan itu bertujuan membantu pihak sekolah merancang dan melaksanakan pelbagai program pendidikan meliputi aspek akademik, sahsiah serta kokurikulum pelajar sepanjang tahun.
Inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak dalam memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dapat dinikmati secara inklusif, khususnya di kawasan luar bandar.
Pihak sekolah turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan yang diberikan dan berharap kerjasama erat antara pemimpin, ibu bapa serta warga pendidik dapat terus diperkasa demi melahirkan generasi pelajar yang berdaya saing.
Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 10 orang tetamu dan turut menyaksikan penyerahan rasmi cek sumbangan yang disahkan melalui perakuan penerimaan bertarikh sama.- EDISI UKAS