BETONG: Peranan tuai rumah sebagai pemimpin di peringkat akar umbi perlu terus diperkasa dengan menitikberatkan ketelusan, keadilan serta fungsi sebagai penghubung utama antara kerajaan dan rakyat.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu menegaskan bahawa, ketua masyarakat dan ketua kaum bukan sahaja bertanggungjawab dalam urusan pentadbiran rumah panjang, malah memainkan peranan penting sebagai penyampai maklumat dasar serta inisiatif kerajaan kepada komuniti setempat.
“Ketua masyarakat dan ketua kaum mestilah adil dan tidak pilih kasih dalam membuat keputusan demi kebaikan semua pihak,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Nanga Tapeh, Spak, pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar berkata, tuai rumah, penghulu dan pemanca merupakan tonggak dalam memelihara adat serta warisan masyarakat Iban, di samping menjadi pemangkin kepada penerimaan perubahan moden dalam kehidupan seharian.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa ibu bapa supaya memberi penekanan terhadap pendidikan anak-anak, termasuk menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai persediaan menghadapi perkembangan sektor pelancongan di Betong.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu pula menekankan kepentingan pemimpin masyarakat untuk memahami tanggungjawab yang diamanahkan serta memastikan proses pelantikan tuai rumah dilaksanakan secara telus melalui perbincangan bersama penduduk.
“Pemilihan ketua kaum adalah di tangan rakyat, justeru masyarakat perlu bijak menilai calon yang benar-benar layak,” katanyasambil mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah, khususnya menjelang sambutan Gawai dan dalam situasi ekonomi global yang mencabar.
Majlis yang dihadiri kira-kira 350 penduduk itu turut menjadi platform penghargaan kepada mantan Penghulu Kawasan Spak, Penghulu Libau Renggian atas khidmat selama lapan tahun, selain meraikan pelantikan Penghulu Ajang Tibu sebagai penghulu baharu.
Turut diadakan penyampaian sijil pelantikan kepada beberapa tuai rumah baharu serta yang dilantik semula.
Program anjuran Pusat Khidmat DUN Layar dengan kerjasama JKKK Nanga Tapeh itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah pemimpin bersama rakyat yang bertujuan mendekati komuniti serta mendengar sendiri keperluan dan isu setempat.- EDISI UKAS