RM14,000 Suntik Pemerkasaan Kepimpinan Akar Umbi Tanjung Bijat
LINGGA: Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan berjumlah RM14,000 bagi menyokong peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Biro Wanita di kawasan Tanjung Bijat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, peruntukan itu melibatkan dana sebanyak RM10,000 kepada JKKK dan RM4,000 kepada Biro Wanita Rumah Baha, Lunchong sebagai usaha memperkasa kepimpinan akar umbi dalam melaksanakan program pembangunan komuniti secara lebih berkesan.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Sijil Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lingga yang menyaksikan seramai 23 penerima menerima sijil pelantikan baharu serta perlanjutan jawatan, di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa peranan Tuai Rumah sebagai pemimpin di peringkat akar umbi amat penting dalam memastikan pentadbiran rumah panjang berjalan dengan teratur, telus dan berkesan.
“Pemimpin komuniti perlu memainkan peranan proaktif dalam memastikan pembangunan serta kesejahteraan penduduk sentiasa diberi keutamaan,” katanya. -EDISI UKAS