Masalah Tekanan Air Rendah Di Batu 10 Selama 2 Tahun Akhirnya Selesai
KUCHING: Masalah tekanan air rendah yang dihadapi oleh satu deretan rumah kedai di kawasan Batu 10 selama hampir dua tahun akhirnya berjaya diselesaikan selepas kerja-kerja penyambungan dan penggantian paip dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang berkata, isu tersebut tidak sepatutnya berlarutan begitu lama kerana ia melibatkan keperluan asas penduduk serta peniaga setempat.
Menurut beliau, kawasan Batu 10 mempunyai hampir 300 unit rumah kedai dan kebanyakannya menerima bekalan air dengan baik, namun kira-kira 10 hingga 12 unit rumah kedai menghadapi masalah tekanan air rendah sejak sekian lama.
“Masalah seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Jika masalah tekanan air rendah berlaku hari ini dan diselesaikan esok atau dalam masa seminggu, itu masih boleh diterima. Tetapi apabila mengambil masa hampir dua tahun, ia amat mengecewakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika turun padang bersama pemimpin masyarakat, ahli majlis, ketua wanita, penduduk serta wakil media bagi meninjau penyelesaian masalah bekalan air di kawasan berkenaan, pada Isnin.
Dato Ir Lo menjelaskan, masalah tersebut dipercayai berpunca daripada sistem paip lama yang telah terjejas atau berubah sepanjang tempoh beberapa tahun lalu sehingga menyebabkan tekanan air menjadi terlalu rendah.
Katanya, pihak Sarawak Water Sdn Bhd telah menggantikan paip utama bersaiz dua inci kepada paip bersaiz enam inci bagi meningkatkan tekanan bekalan air ke deretan rumah kedai tersebut.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir serta pihak yang akhirnya mengambil tindakan menyelesaikan masalah tekanan air tersebut.
Selain isu di Batu 10, beliau turut memaklumkan bahawa masalah tekanan air rendah di kawasan Bunga Rampai juga akan dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri akan datang.
Menurutnya, kawasan Bunga Rampai turut berdepan masalah tekanan air rendah sejak hampir dua tahun lalu, terutama pada waktu siang, manakala bekalan air hanya lebih baik pada waktu malam.
“Masalah tekanan air rendah di Bunga Rampai juga sudah lama berlaku. Saya akan membawa perkara ini ke DUN supaya tindakan lebih serius dapat diambil,” katanya. -EDISI UKAS