RM100,000 Tambahan Untuk Siapkan Parkir Gereja St Ann, Mampu Tampung Kehadiran Hingga 6,000 Umat
KUCHING: Kemudahan tempat letak kereta di Gereja St. Ann bakal dipertingkat apabila menerima peruntukan tambahan RM100,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi menyiapkan parkir dalam kawasan gereja.
Peruntukan tersebut disampaikan secara simbolik oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang kepada Father Johannes Gamin, mewakili pihak gereja, dalam satu majlis yang turut disaksikan pemimpin komuniti setempat, pada Isnin.
Menurut beliau, keperluan parkir yang mencukupi amat mendesak memandangkan gereja tersebut menerima kehadiran yang tinggi, khususnya ketika perayaan besar keagamaan.
“Bagi misa Ahad, kehadiran boleh mencecah lebih 2,000 orang, manakala semasa sambutan besar seperti Krismas, Good Friday dan Easter, jumlah itu meningkat sehingga 5,000 hingga 6,000 orang, menyebabkan kenderaan melimpah ke jalan raya,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa projek tersebut akan menambah baik kemudahan parkir sedia ada yang kini menyediakan 94 petak, sekali gus meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengunjung.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa dalam tempoh dua tahun lalu, sebanyak RM200,000 peruntukan RTP telah disalurkan bagi pembangunan parkir di kawasan belakang berhampiran sekolah Chung Hua dan gereja berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata projek parkir luar kawasan masih memerlukan tambahan kira-kira RM500,000 dan dijangka dilaksanakan secara berfasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) atas sumbangan dalam pembangunan bangunan gereja serta kemudahan kelas Sunday School yang menempatkan 14 bilik darjah.
“UNIFOR banyak membantu pembangunan bangunan dan kemudahan pendidikan gereja, manakala projek infrastruktur seperti parkir dilaksanakan melalui dana pembangunan wakil rakyat,” jelasnya. -EDISI UKAS