PPRMS RM15,000 Bantu Baik Pulih Rumah Penerima Di Batu Kitang
KUCHING: Inisiatif Kerajaan Sarawak melalui Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) terus memberi impak langsung kepada golongan memerlukan apabila sebuah rumah di Dewabn Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang berjaya dibaik pulih dengan kos RM15,000.
Projek tersebut melibatkan kediaman penerima, Thian Liuk Lee, yang dilaksanakan di bawah seliaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasar Batu 10 Kota Padawan.
Kerja-kerja penambahbaikan meliputi penggantian papan rumah, kerja mengecat serta pembaikan struktur lain bagi memastikan kediaman lebih selamat, selesa dan sesuai didiami.
Menurut maklumat projek, pelaksanaan bermula pada 12 April 2026 dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 20 April 2026.
Sebagai simbolik penyiapan, Dato Ir Lo telah merasmikan projek tersebut dengan menampal Notis PPRMS di hadapan rumah penerima, menandakan kerja-kerja baik pulih telah selesai dilaksanakan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membantu rakyat berpendapatan rendah melalui penyediaan kemudahan kediaman yang lebih baik, sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat luar bandar. -EDISI UKAS