Padang SK Sungai Apin Siap Dinaik Taraf, Manfaat Murid & Komuniti
SIMUNJAN: Projek naik taraf padang bola sepak Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Apin Fasa Pertama kini telah siap sepenuhnya dan sedia digunakan bagi aktiviti sukan sekolah serta komuniti setempat.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, projek bernilai RM150,000 itu telah disiapkan pada Mac 2026, merangkumi pembinaan tembok, pemasangan sistem saliran bawah tanah bagi mengatasi masalah air bertakung, serta penanaman rumput jenis cow grass demi keselesaan murid.
“Projek ini merupakan fasa pertama yang dilaksanakan mengikut kemampuan dana semasa. Saya berharap kemudahan ini dapat memperkasakan aktiviti sukan serta kegunaan harian warga sekolah,” katanya ketika ditemui pada majlis serah siap projek tersebut di SK Sungai Apin pada Selasa.
Mengulas perancangan seterusnya, beliau memaklumkan bahawa Fasa Kedua projek kini dalam peringkat perancangan dengan anggaran kos antara RM100,000 hingga RM150,000.
Fasa tersebut dijangka melibatkan kerja pemasangan jaring, pembinaan pagar di belakang kawasan gol serta peluasan kawasan rumput.
Pelaksanaannya disasarkan bermula pada suku ketiga atau keempat tahun 2027 melalui peruntukan Persekutuan.
Tambah beliau, kemudahan padang ini bukan sahaja memberi manfaat kepada warga sekolah, malah turut menjadi pusat aktiviti bagi penduduk enam kampung sekitar, termasuk sebagai lokasi penganjuran sukan Zon 3 Sungai Apin dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan status pembangunan semula SK Sungai Apin yang dikategorikan sebagai sekolah daif.
Menurutnya, projek tersebut kini berada di bawah program Projek Pembangunan Semula Sekolah Daif di Sarawak di bawah Peruntukan RM1 bilion yang diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
“Pihak JKR sedang dalam proses mengemukakan Notis Perubahan (NOC) kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) berikutan peningkatan kos pembinaan yang ketara berbanding anggaran asal empat tahun lalu.
“Sekiranya kelulusan kos baharu diperoleh tahun ini, kerja-kerja pembangunan fizikal sekolah dijangka dapat dimulakan pada tahun hadapan,” katanya.
Hadir sama, Penolong Jurutera Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Michelle Cyrill, Guru Besar SK Sungai Apin Ibrahim Lobot serta Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simunjan Bojeng Ali. -EDISI UKAS